
SUMBER DARI JABATAN PERANCANGAN BANDAR DAN DESA SEMENANJUNG MALAYSIA, KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
7. GARIS PANDUAN SKIM ‘GUARDED NEIGHBOURHOOD’ (GN)
Penubuhan skim GN adalah tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan undang-undang. Bagi tujuan pemantauan dan pengawalseliaan oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Dalam Negeri, PBT, Pejabat Tanah Daerah dan PDRM, terdapat beberapa syarat dan kawalan yang perlu dipatuhi oleh persatuan penduduk kejiranan sedia ada atau kejiranan baru di dalam menubuh dan menjalankan operasi GN.
7.1 Kawalan Am Perancangan
Skim GN hanya dibenarkan di kawasan bandar (di dalam kawasan operasi PBT), khususnya di kawasan yang kurang selamat (mempunyai kadar jenayah yang tinggi berdasarkan rekod pihak polis). PBT dicadangkan mendapat pandangan daripada pihak PDRM dalam meneliti sebarang cadangan penubuhan GN oleh persatuan penduduk.
GN tidak dibenarkan jika di dalam kawasan kejiranan terdapat komponen-komponen kemudahan awam utama seperti sekolah, masjid, dewan orang ramai dan sebagainya serta jika merupakan kawasan laluan pengangkutan bas awam.
PBT boleh menentukan bilangan unit rumah (minimum dan maksimum) dalam sesuatu skim GN bagi memastikan ianya dapat dikawal dan diurus dengan berkesan.
7.2 Syarat Asas Penubuhan
Cadangan menubuhkan GN perlu dimaklumkan kepada PBT yang berkenaan melalui persatuan penduduk (RA) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Semua premis kediaman yang hendak dijadikan sebagai GN mestilah telah mendapat Perakuan Kelayakan Menduduki (CFO) atau Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Cadangan untuk mewujudkan GN perlu mendapat persetujuan majoriti penduduk (ketua isi rumah), tertakluk kepada tiada sebarang paksaan dan tekanan kepada penduduk yang tidak bersetuju.
Pihak persatuan penduduk perlu mengemukakan dokumen berkenaan dengan persetujuan penduduk dan lain-lain maklumat yang diperlukan kepada PBT dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.
7.4 Pembinaan Pagar
Pembinaan pagar (perimeter fencing) mengelilingi kawasan sempadan skim kejiranan adalah tidak dibenarkan.
7.5 Pengawal Keselamatan
Syarikat pengawal keselamatan yang dilantik perlu berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri. Syarat-syarat bagi pengambilan pekerja dan pengawal keselamatan adalah sebagaimana di Lampiran 1.
7.6 Pelepasan Status
Cadangan pelepasan atau pembubaran status GN kepada status asal (tidak berpengawal) oleh persatuan penduduk perlu dimaklumkan kepada PBT.
Lampiran 1:
SYARAT-SYARAT LESEN DI BAWAH SEKSYEN 3 AKTA NO. 27/71 UNTUK MENGURUS AGENSI PERSENDIRIAN KAWALAN
1. Pengambilan Pekerja dan Pengawal
(a) Hanya warganegara Malaysia sahaja dibenarkan untuk diambil bekerja. Pengambilan pekerja-pekerja di semua peringkat hendaklah mencerminkan masyarakat Malaysia.
(b) Satu perlima (1/5) daripada pengawal-pengawal keselamatan Agensi Perkhidmatan Kawalan dikehendaki terdiri daripada bekas Polis dan bekas Tentera.
(c) Pekerja-pekerja hendaklah diambil dari mereka yang mempunyai watak yang baik.
(d) Hanya warganegara asing bekas tentera warganegara Nepal sahaja yang dibenarkan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
(e) Pengawal beruniform mestilah sekurang-kurangnya berukuran 1.57 meter (5’ 2’’) tinggi bagi lelaki dan 1.52 meter (5’) bagi wanita, manakala 47.6 kg. (105 paun) bagi lelaki dan 46.2 kg (102 paun) bagi wanita.
(f) Pengambilan pekerja dan pengawal keselamatan mestilah mendapat kelulusan tapisan keselamatan dari Polis dan lulus ujian air kencing.
(g) Pengambilan pengawal keselamatan berumur lebih 60 tahun tidak dibenarkan. Bagi pengawal yang berumur 56 tahun dan ke atas hendaklah mendapat pengesahan dari doktor mengenai tahap kesihatannya.
(h) Pengambilan pengawal hendaklah sihat dan pengesahan dari doktor adalah diperlukan bagi setiap pengawal yang diambil bekerja.
(i) Semua pengawal keselamatan diwajibkan menjalani ujian air kencing di mana-mana klinik kesihatan dalam tempoh 7 hari (bekerja) dari tarikh ia dilantik sebagai pengawal keselamatan. Bagi pemeriksaan kesihatan yang lain ia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh syarikat.
(j) Seseorang pemohon hanya boleh memulakan tugas sebagai pengawal keselamatan selepas 7 hari (bekerja) dari tarikh ia dilantik sebagai pengawal keselamatan. Ia perlu diberikan latihan in-house tidak kurang dari seminggu sebelum memulakan tugas di tempat yang bersesuaian.
(k) Hanya pengawal yang telah lulus tapisan keselamatan dan ujian air kencing dibenarkan bekerja.
(l) Semua pengawal keselamatan hendaklah mengikuti kursus asas pengawal keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh 3 bulan setelah pengawal diambil bekerja.
(m) Pengambilan pekerja secara kontrak tidak dibenarkan.
2. Alat-Alat dan Pakaian Pengawal
(a) Agensi Perkhidmatan Kawalan yang diberi kebenaran memiliki senjata api oleh Polis adalah dikehendaki melaporkan kepada Kementerian Dalam Negeri bilangan dan jenis senjata api yang dimiliki pada setiap tahun.
(b) Agensi Perkhidmatan Kawalan yang dibenarkan memiliki senjata api adalah dikehendaki menyediakan sebuah bilik kebal ataupun peti besi yang sesuai untuk menyimpan senjata dan peluru dengan selamat.
(c) Agensi Perkhidmatan Kawalan yang dibenarkan memiliki senjata api dan peluru adalah dikehendaki menyimpan buku daftar untuk merekodkan pergerakan keluar masuk senjata api.
(d) Anggota Agensi Perkhidmatan Kawalan yang dibenarkan membawa dan mengguna senjata api hendaklah diberi latihan yang cukup tentang cara membawa, mengguna, menjaga dan menyimpan senjata api. Latihan menembak hendaklah diadakan dari semasa ke semasa, sekurang-kurangnya dua kali setahun.
(e) Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah menggunakan senjata api miliknya sendiri untuk tujuan kawalan. Senjata api kepunyaan pengawal atau senjata api RELA adalah dilarang sama sekali daripada digunakan. Walau bagaimanapun, sekiranya agensi itu hendak menggunakannya juga, kelulusan Polis adalah diperlukan untuk meminda syarat kegunaan senjata api berkenaan.
(f) Agensi Perkhidmatan Kawalan tidak dibenarkan menggunakan gari.
(g) Pengawal-pengawal keselamatan hendaklah memakai pakaian seragam yang ditetapkan iaitu :
Kombinasi 1
Warna Baju Kemeja: Beige (kod warna : MS 888 14)
Warna Seluar : Hitam (kod warna : MS 888 9)
Kombinasi 2
Warna Baju Kemeja: Putih (kod warna : MS 888 8)
Warna Seluar : Biru Gelap (kod warna : MS 888 8021)
Kombinasi 3
Warna Baju Kemeja: Kelabu Biru (kod warna : MS 888 8005)
Warna Seluar : Biru Gelap (kod warna : MS 888 8021)
Warna-warna lain tidak dibenarkan. Lambang atau lencana syarikat hendaklah dipakai di pakaian seragam semasa menjalankan tugas. Lencana atau lambang yang digunakan hendaklah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri.
(h) Penggunaan sistem pemantauan berpusat (Central Monitoring System) perlu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan pihak Polis.
3. Cawangan / Pejabat Operasi
(a) Agensi Perkhidmatan Kawalan tidak dibenarkan membuka cawangancawangan atau operasi tanpa kelulusan dari Menteri Dalam Negeri.
(b) Lesen Agensi Perkhidmatan Kawalan tidak sekali-kali dibenarkan untuk dipajak atau disewakan.
(c) Pejabat-pejabat cawangan atau operasi hendaklah mendapat tapisan keselamatan dan taksiran kesesuaian oleh Polis.
4. Seseorang Pengarah Agensi Perkhidmatan Kawalan adalah dilarang menjadi Pengarah kepada lebih dari sebuah syarikat Agensi Perkhidmatan Kawalan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat No. 79/65 tanpa kebenaran Menteri Dalam Negeri.
5. Sebarang pertukaran Pengerusi, Pengarah Urusan / Pengarah Eksekutif, Pengarah dan Pemegang Saham hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Menteri Dalam Negeri dengan menyatakan sebab-sebab penukaran perlu dibuat.
6. Persetujuan dari Kementerian Dalam Negeri hendaklah diperoleh terlebih dahulu oleh Agensi Perkhidmatan Kawalan untuk menukar nama, alamat cawangan / operasi, urusan perkongsian (partnership) dan urusan syarikat (corporation) yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat No. 79/65 atau sebaliknya.
7. Daftar Syarikat
(a) Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah mengemukakan, tidak lewat daripada 7hb. pada tiap-tiap bulan Daftar Pekerja melalui Borang F menurut Kaedah 9 di bawah Kaedah-kaedah Agensi Persendirian 1970 dengan maklumat tambahan yang berikut :
(i) Nombor keahlian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP);
(ii) Nombor polisi insurans PERKESO bagi tiap-tiap pekerja;
(iii) Butir-butir mengenai pekerja-pekerja yang terdiri dari bekas Polis dan Bekas Tentera;
(iv) Daftar Pekerja di cawangan hendaklah dikirim secara berasingan;
(v) Mengemukakan daftar pekerja warganegara Nepal mengikut format yang telah ditetapkan oleh KDN.
8. Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah mematuhi semua undang-undang pekerjaan seperti Akta Kerja 1955.
9. Agensi Perkhidmatan Kawalan dikehendaki mengemukakan Laporan Tahunan bersama Kira-Kira Tahunan yang telah diaudit tidak lewat daripada 31hb Mac dalam tahun yang berikutnya.
10. Struktur pemilikan saham / ekuiti dalam sesebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat No. 79/65 hendaklah selaras dengan dasar-dasar Kerajaan.
11. Sebarang pemindahan saham syarikat Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan Menteri Dalam Negeri.
12. Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah bersedia membekalkan sebarang maklumat yang diperlukan oleh Kementerian Dalam Negeri berkaitan dengan perniagaan yang dijalankan, pada bila-bila masa sahaja ianya diminta.
13. Penggunaan anjing untuk tujuan menjalankan kawalan adalah tidak dibenarkan kecuali dengan persetujuan Kementerian Dalam Negeri.
14. Setiap Agensi Perkhidmatan Kawalan adalah dikehendaki mengambil perlindungan insurans bagi anggota pengawal dan barang yang dikawal.
15. Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah menjadi Ahli Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM). Semua Ahli Persatuan hendaklah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh PPKKM antaranya tawaran sebut harga.
16. Kegagalan mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di atas akan mengakibatkan penarikan balik lesen agensi berkenaan.
Sumber: Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bil. 1 Tahun 2006, Kementerian Dalam Negeri, 2006.
http://www.moha.gov.my/images/maklumat_perkhidmatan/pekeliling_agensi_persendirian/pekeliling_1.pdf
Nota: Untuk perincian lanjut bagi perkara berkaitan dengan syarat-syarat syarikat kawalan keselamatan persendirian dan garis panduan pengambilan bekas tentera warganegara Nepal untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan, sila merujuk kepada Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bil. 1 Tahun 2006 dan Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bil. 2 Tahun 2006 yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (http: moha.gov.my).
JPBD Semenanjung Malaysia
Garis Panduan Perancangan ‘Gated Community and Guarded Neighbourhood’
Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia
Tel: 03-2698 9211 Faks: 03-2693 3964 E-mail: dahlia@townplan.gov.my Laman web: http://www.townplan.gov.my
**********************
Pautan: